img img img img

Kluster Bakat Digital

Teras 4

Membangunkan bakat digital yang tangkas dan kompeten

Kita harus memastikan pendigitalan diterima dan digunakan sepenuhnya dalam pembangunan bakat pada pelbagai peringkat pendidikan dan juga dalam meningkatkan kemahiran dan latihan kemahiran semula tenaga kerja. Tenaga kerja sedia ada dan masa hadapan akan dilengkapkan dengan kemahiran digital untuk terus maju dalam ekonomi digital yang sentiasa berubah. Pekerja gig juga akan diberikan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan menjalani latihan kemahiran semula serta disediakan sokongan yang diperlukan dalam usaha menyediakan bakat yang bersesuaian dengan keperluan.

Malaysia telah menerima pakai kurikulum ICT yang disemak semula untuk sekolah rendah dan kurikulum sains computer yang baharu untuk sekolah menengah semenjak tahun 2017. Terdapat juga pelbagai inisiatif yang dilaksana untuk memupuk kemahiran digital di sekolah. Tumpuan inisiatif ini telah beralih daripada membangunkan infrastruktur asas kepada penggunaan kaedah inovatif dalam pembelajaran tidak formal semenjak inisiatif ini dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, masih wujud jurang dalam kurikulum penggunaan teknologi dan pengenalan kemahiran pengkomputeran di sekolah serta masalah lebar jalur dan kemudahan ICT yang tidak mencukupi. Keadaan ini memberi kesan kepada penguasaan teknologi digital dalam kalangan pelajar dan guru. Memandangkan pendidikan vokasional dan pendidikan tertiari memberi lebih tumpuan kepada kemahiran khusus berkaitan pekerjaan, tumpuan kurang diberikan kepada kompetensi dan keupayaan membuat penyesuaian dalam pengunaan teknologi.

Keadaan ini menyumbang kepada ketidakpadanan pekerjaan dalam pasaran buruh. Kejayaan perniagaan tempatan akan bergantung kepada kemahiran dan keupayaan tenaga kerja. Cabaran utama yang dihadapi oleh rakyat adalah untuk memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi kekal relevan dengan perubahan keperluan pekerjaan dan pewujudan pekerjaan baharu. Usaha untuk meningkatkan kemahiran dan latihan kemahiran semula dalam kalangan tenaga kerja masih tidak mencukupi walaupun terdapat peningkatan permintaan bagi kemahiran teknikal.