img img img img

Kluster Infrastruktur Digital dan Data

Teras 3

Membina infrastruktur digital yang menyokong

Negara perlu menyediakan akses kepada infrastruktur digital yang menyeluruh dan berkualiti tinggi yang akan membolehkan rakyat mengambil bahagian dalam ekonomi digital. Kerajaan dan perniagaan akan dapat beroperasi dengan mudah dan terus berinovasi dengan adanya persekitaran digital yang kondusif yang disediakan menerusi ketersambungan digital yang lancar dan menyeluruh.

Infrastruktur digital yang diberi tumpuan di bawah teras ini terdiri daripada jalur lebar, pusat data dan stesen pendaratan kabel dasar laut. Infrastruktur ini membolehkan penjanaan, aliran, pertukaran, penggunaan dan penyimpanan data.

Malaysia telah mencapai kemajuan yang pesat dalam menambah baik keadaan dan liputan infrastruktur digital asas. Reformasi kawal selia melalui pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) telah menurunkan harga jalur lebar di samping meningkatkan kelajuannya. Pada tahun 2019, Malaysia telah melancarkan NFCP 2019-2023, untuk meningkatkan kualiti dan liputan jalur lebar. Pelan ini dikaji semula pada tahun 2020 dan kini dikenali sebagai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan sasaran yang ditambah baik.

Walau bagaimanapun, akses jalur lebar adalah tidak menyeluruh dan masih terdapat jurang dari segi kelajuan, terutama di kawasan luar bandar. Persekitaran yang menyokong adalah diperlukan bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur digital, termasuk pusat data berteknologi tinggi.