img img img img

Kluster Masyarakat

Teras 5

Mewujudkan masyarakat digital yang inklusif

Jurang digital mesti diatasi bagi memastikan setiap individu terlibat dan meraih manfaat daripada ekonomi digital. Antara keberhasilan utama rangka tindakan ini adalah untuk mewujudkan masyarakat digital yang inklusif tanpa meminggirkan sesiapa. Ini adalah sejajar dengan objektif WKB 2030. Tingkah laku beretika dalam penggunaan teknologi digital akan diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan masyarakat digital yang bertanggungjawab.

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan semua lapisan masyarakat diberi peluang yang saksama bagi mendapatkan pengetahuan dan set kemahiran yang diperlukan untuk berdaya maju dalam ekonomi digital. Terdapat pelbagai inisiatif dan program kerajaan, termasuk eRezeki, eUsahawan, Pusat Internet dan tanggungjawab sosial digital untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Sebagai sebahagian daripada inisiatif pemulihan ekonomi, kredit ePenjana telah diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan rakyat.

Walau bagaimanapun, jurang digital dalam kalangan kumpulan pendapatan, strata, umur, jantina dan kemahiran masih wujud. Jika tidak ditangani dengan baik, ini akan membantutkan usaha dalam mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.