Membina persekitaran digital yang dipercayai, selamat dan beretika
Keghairahan inovasi teknologi baharu perlu disertakan dengan kesedaran untuk mewujudkan persekitaran digital yang dipercayai, selamat dan beretika. Ini membolehkan perniagaan dan masyarakat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan digital tanpa mengabaikan aspek keselamatan, perlindungan data, kerahsiaan, daya harap dan standard etika. Persekitaran digital memerlukan pembangunan ekosistem yang menyeluruh seperti rangka kerja kawal selia dan keupayaan keselamatan siber untuk menangani ancaman atau ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan ekonomi digital daripada berfungsi sepenuhnya.
Selaras dengan perkembangan penguasaan ekonomi digital di Malaysia, ancaman keselamatan siber semakin meningkat dengan bertambahnya penjanaan, pertukaran dan penggunaan data oleh pengguna. Dengan kelebihan dalam rangka kerja institusi yang dimiliki, Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh ekosistem keselamatan siber. Kejayaan langkah ini dibuktikan dalam pencapaian ITU Global Cybersecurity Index, iaitu Malaysia secara konsisten berada dalam kalangan 10 negara teratas di dunia bagi komitmen keselamatan siber sejak tahun 2014. Selain itu, Malaysia berada pada kedudukan kedua selepas Singapura di rantau Asia Pasifik pada tahun 2018.
Tahap kesedaran mengenai kepentingan keselamatan di ruang siber masih menjadi cabaran dalam kalangan rakyat dan perniagaan, terutama PMKS. Kepercayaan rakyat terhadap integriti organisasi yang memproses dan menggunakan data peribadi juga masih rendah. Penggunaan teknologi digital juga meningkatkan kebimbangan mengenai etika. Selain itu, kekangan kewangan yang dihadapi oleh PMKS menghalang penggunaan peralatan keselamatan siber secara meluas.