img img img img

Soalan Lazim

Soalan Lazim

Maklum Balas

MyDIGITAL adalah satu inisiatif yang melambangkan aspirasi Kerajaan mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menggariskan usaha dan inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

Rangka tindakan ini menetapkan trajektori sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia dan membina asas untuk memacu pendigitalan di seluruh negara, termasuk merapatkan jurang digital.

MyDIGITAL dirangka sebagai pelengkap kepada dasar pembangunan negara antaranya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). Ekonomi digital telah dikenal pasti sebagai aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) bagi merealisasikan WKB 2030.

Ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil serta pertumbuhan yang inklusif dan saksama. Pertumbuhan ekonomi dunia semakin dipacu oleh pendigitalan. Tingkah laku pengguna telah beralih kepada pemilihan urusan yang cepat dan mudah melalui internet dan telefon mudah alih.

Pandemik COVID-19 telah menjadikan ekonomi digital semakin penting bagi memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi. Penggunaan internet dan kemajuan teknologi telah menyumbang kepada pertumbuhan data yang pesat, yang merupakan komoditi masa hadapan.

Walau bagaimanapun, negara akan menghadapi risiko peningkatan jurang digital jika usaha pendigitalan tidak diuruskan dengan baik. Kita mesti menguasai pendigitalan dan meraih peluang yang muncul daripada perubahan ini demi kesejahteraan semua, serta untuk terus kekal relevan dan berdaya saing.

Ekonomi digital ditakrifkan sebagai aktiviti ekonomi dan sosial yang melibatkan pengeluaran dan penggunaan teknologi digital oleh individu, perniagaan dan kerajaan.

Menerusi MyDIGITAL, Malaysia akan berjaya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital. MyDIGITAL berhasrat membantu rakyat menguasai teknologi untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup. Visi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia adalah untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

4IR merujuk kepada transformasi disruptif dalam industri melalui penggunaan teknologi baru muncul. la bercirikan teknologi baharu yang menggabungkan alam fizikal, digital dan biologi, yang memberi kesan kepada semua bidang, industri dan ekonomi.

Sebagai contoh, percetakan bio menggunakan fail digital (digital) untuk mencetak objek seperti organ (fizikal) dengan menggunakan sel dan bahan bio (biologi). Ekonomi digital dan 4IR adalah saling bergantung dan menguatkan satu sama lain.

Pendigitalan membolehkan aplikasi teknologi yang lebih canggih, inovasi dan kemunculan model perniagaan baharu dalam semua sektor. Penerimagunaan teknologi 4IR yang meluas akan mempercepat pertumbuhan ekonomi digital.

Dasar 4IR Negara merupakan dasar negara yang menyeluruh untuk memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi 4IR yang beretika. la menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti RMKe-12 dan WKB 2030. Ia juga melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital.

Dasar ini menggariskan bidang fokus utama yang memberi kesan kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan, bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan dan menangani risiko yang wujud daripada 4IR.

4IR tidak dapat dielakkan. la telah pun mula mengubah proses dan sistem sedia ada yang mempengaruhi semua aspek kehidupan manusia. Teknologi 4IR berpotensi meningkatkan kesejahteraan masyarakat dengan menambah baik tahap pendapatan, perpaduan masyarakat dan kecekapan, menyediakan kemudahan dan keselamatan serta melindungi dan memulihara sumber semula jadi yang terhad dengan lebih baik.

4IR menyediakan peluang yang baharu dan cerah untuk Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan meningkatkan kekuatan dan kelebihan daya saing sedia ada negara demi kebaikan masyarakat. Waiau bagaimanapun, penggunaan yang tidak bertanggungjawab dan manipulasi teknologi boleh mendatangkan risiko yang ketara kepada pasaran buruh, melebarkan jurang ketidaksamaan dan merosotkan nilai dan etika. Dasar 4IR Negara menyediakan:

   • Prinsip panduan utama dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi baru muncul.

   • Garis panduan untuk menangani risiko daripada teknologi 4IR di samping memelihara nilai dan budaya.