Negara perlu menyediakan akses yang komprehensif dan berkualiti tinggi kepada infrastruktur digital yang membolehkan warga negara mengambil bahagian dalam ekonomi digital. Kerajaan dan perniagaan akan dapat beroperasi dengan mudah dan terus berinovasi dengan persekitaran digital yang kondusif melalui keterhubungan digital yang menyeluruh dan seamless.
Infrastruktur digital yang difokuskan di bawah inti ini terdiri daripada jalur lebar, pusat data, dan stesen pendaratan kabel submarine. Infrastruktur ini membolehkan penjanaan, aliran, pertukaran, penggunaan, dan penyimpanan data.
Malaysia telah membuat kemajuan pesat dalam meningkatkan keadaan dan liputan infrastruktur digital asas. Reformasi peraturan melalui pelaksanaan Standard Wajib Harga Akses (MSAP) telah mengurangkan harga jalur lebar sambil meningkatkan kelajuan. Pada tahun 2019, Malaysia melancarkan Pelan Penyambungan Dan Penyediaan Rangkaian Kebangsaan (NFCP) 2019-2023 untuk meningkatkan kualiti dan liputan jalur lebar. Pelan ini telah dikaji semula pada tahun 2020 dan kini dikenali sebagai Pelan Konnektiviti Digital Kebangsaan (JENDELA) dengan sasaran yang lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, akses jalur lebar masih belum menyeluruh dan terdapat jurang kelajuan, terutamanya di kawasan luar bandar. Satu persekitaran sokongan diperlukan untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur digital, termasuk pusat data teknologi tinggi.